Saturday 4 November 2017

DEMI PENA

FAEDAH MENULIS GUNA TANGAN BERBANDING MENULIS MENGGUNAKAN KOMPUTER
Dalam zaman teknologi komunikasi dewasa ini, tulisan tangan semakin dipinggirkan. Manusia lebih gemar menulis sesuatu dengan menggunakan komputer. Mungkin dari segi kandungan, tulisan tangan dan tulisan komputer tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan. Ini adalah kerana apa yang ditulis oleh tangan atau apa yang ditulis oleh komputer bersumber dari otak yang satu. Namun dari beberapa sudut lain, wujud perbezaan yang tidak harus dipandang remah. Semak tulisan ini, ia menyingkap beberapa keutamaan tulisan tangan berbanding tulisan komputer.
1.       Penulis akan cepat faham jika dia menulis dengan tangan, berbanding menulis menggunakan komputer.
2.       Ketika seseorang menulis dengan tangan, otak akan mengawal pergerakan tangan bagi mengukir bentuk huruf atau kalimat yang dikehendakki. Proses ini akan meningkatkan perkembangan fungsi otak berbanding menulis menggunakan komputer.
3.       Tulisan tangan mencerminkan psikologi penulisnya berbanding tulisan komputer yang akan sama saja binaan hurufnya walau ditulis oleh penulis berbeza.
4.       Menulis dengan tangan akan membolehkan kita menghasilkan karya tulis yang lebih banyak, lebih cepat dan binaaan ayat yang dilahirkan akan lebih baik berbanding  menulis menggunakan komputer.
5.       Allah juga menyebut “ Nun, demi pena dan apa yang dicoretkannya” Surah Al Qalam 1. Kalau pena yang mencoret semestinya kemahiran menulis menggunakan tangan tidak dapat disangkal dalam mengukir huruf-huruf yang membentuk kalimat. Pasti bukan patukan-patukan jari jemari ke atas papan kekunci.
6.       Walau kita semua sedar, bahawa ketukan hujung jari ke papan kekunci juga menggunakan tangan, tapi binaan huruf yang terhasil tidak membeza di antara mana-mana penulis, jika guna pen atau pensil pastinya ada beza.
7.       Bagi pengidap disleksia, tulisan tangan amat berfaedah untuk mereka. Tulisan tangan lebih mudah dibaca dan dibezakan oleh pengidap disleksia berbanding tulisan komputer.
8.       Wall Street Journal dalam edisi terkini telah mempamirkan dapatan kajian yang menyatakan bahawa latihan tulisan tangan mampu meransang otak warga emas.
9.       Dr. Mark Savier pula menyatakan bahawa menulis “ Saya akan sihat sejahtera” sebanyak 20 kali sehari semalam dengan tulisan tangan akan meningkatkan kesihatan seseorang terutama individu yang menghadapi ganguan psiketri. 

Thursday 26 October 2017

DAHSYATNYA SELAWAT !!!

APA AKAN TERJADI JIKA ANDA MEMBACA SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD SALLAHU ALAIHI WASALAM ?
1.       Anda mendapat gelaran manusia yang taat kepada Allah kerana melaksanakan  perintah Allah , iaitu perintah berselawat untuk Rasulullah.
2.       Anda pada kedudukan selari dengan Allah iaitu Allah berselawat ke atas Nabi anda juga berselawat ke atas Nabi. (Selawat Allah untuk nabi ialah pujian Allah ke atas Rasulullah, Allah menyebut kehebatan Rasulullah di sisi malaikat yang rapat dengan Allah). (Selawat anda untuk Rasulullah ialah doa dan permintaan yang anda panjatkan kepada Allah agar Allah menyebut kehebatan Rasulullah di dalam majlis bersama malaikat yang mulia)
3.       Allah akan berselawat 10 kali untuk anda. (Selawat Allah untuk anda bermaksud memberi rahmat, meredhai anda dan menyebut kebaikan anda di sisi malaikat).
4.       Malaikat  akan berselawat 10 kali untuk anda. (Selawat malaikat kepada anda bermaksud membacakan istighfar (keampunan) untuk anda)
5.       Allah tugaskan satu malaikat untuk menyampaikan selawat yang anda baca kepada Rasulullah.
6.       Allah akan kembalikan ruh ke jasad Rasulullah, lalu baginda menjawab selawat dan salam yang anda sampaikan untuk baginda. (Selawat Rasulullah untuk anda bermaksudnya Rasulullah mendoakan agar anda mendapat rahmat dan keselamatan, agar Allah menyebut kebaikan anda dalam majlis bersama malaikat)
7.       Allah menghapuskan 10 dosa dan kejahatan anda
8.       Allah mengangkatkan kedudukan anda dengan 10 darajat.
9.       Allah memberikan 10 kebaikan kepada anda.
10.   Allah menghilangkan segala kerunsingan dan kekhutiran anda
11.   Allah mengampunkan dosa anda.
12.   Dada anda akan terasa lapang
13.   Bila anda mendengar nama Rasulullah disebut, anda berselawat, lalu Allah hapuskan gelaran bakhil dari diri anda,
14.   Segala doa anda akan dimakbulkan.
15.   Anda bakal mendapat syafaaat (pertolongan Nabi) nabi di negeri akhirat
16.   Anda boleh berada dekat dengan Rasulullah di hari kiamat.
17.   Jika anda miskin, selawat atas Nabi menjadi ganti sedekah yang tak dapat anda tunaikan.
18.   Selawat atas nabi menjadi penyebab tertunainya segala hajat anda.
19.   Selawat atas nabi menyucikan diri anda
20.   Selawat atas nabi menjadi penyebab anda diberikan khabar syurga sebelum anda mati.
21.   Selawat menjadi penyelamat dari kesangsaraan hari kiamat.
22.   Dengan berselawat anda akan teringat apa yang anda lupa.
23.   Selawat menjadi penyebab keberkatan sesuatu majlis, mengelak kekecewaan di hari akhirat.
24.   Selawat mengelakkan kita dari jadi fakir
25.   Selawat bila dengar nama nabi disebut akan mengelakkan anda terkena sumpahan Malaikat dan Nabi yang mendoakan celaka kepada orang  yang berat nak selawat atas Nabi  bila dengar nabi Nabi disebut.
26.   Selawat menyeret anda menelusuri jalan ke syurga. Kalau tak selawat anda sesat jalan ke syurga.
27.   Selawat penyempurna pidato yang dimulai dengan memuji Allah dan selawat atas Nabi.
28.   Selawat menyebabkan cahaya kekal terang benderang  ketika anda melalui sirat.
29.   Anda akan dipuji Allah di hadapan penduduk bumi dan langit. Kerana anda memohon Allah menyebut dan memuji Rasulullah di sisi malaikat. Ganjaran yang anda dapat sesuai dengan amalan anda.
30.   Anda pasti mendapat keberkatan pada diri, pekerjaan, umur dan segala kebaikan.
31.   Selawat menjadi penyebab anda mendapat rahmat.
32.   Selawat menjadi baja yang menyuburkan memanjangkan hubungan cinta anda  kepada Rasulullah.
33.   Selawat juga menyebabkan Rasulullah cinta kepada anda.
34.   Selawat menjadi penyebab dapat hidayah dan memperolehi hati yang hidup.
35.   Selawat menjadi penyebab tetapnya kaki anda ketika lalu titian sirat(tak tergelincir).
36.   Selawat adalah tahap minima hak Rasulullah yang wajib anda tunaikan tahap minima mensyukuri nikmat perutusan nabi.
37.   Selawat terkandung zikrullah, syukur terhadap Allah yang mengutus Rasulullah.
38.   Selawat bermakna doa.( permintaan untuk diri sendiri, permintaan agar Allah menambah kemuliaan nabi Muhamad)
39.   Allah menerima selawat ini meskipun anda berselawat dengan hati anda lalai.
40.   Rugilah anda jika dengan satu kali selawat anda dapat 40 kebaikan ini, adakah anda masih malas berselawat?


Sunday 22 October 2017

10 TIPS BAGAIMANA ANDA MELEPASKAN DIRI DARI "WRITER'S BLOCK"

10 TIPS BAGAIMANA ANDA MENGATASI “WRITER'S BLOCK”
Assalamualaikum dan selamat sejahtera untuk semua yang bergelar penulis,
Jika anda telah bersua dengan tulisan ini, bermakna anda memang seorang penulis. Penulis ialah manusia yang berusaha menyampaikan idea dan gagasan mereka melalui wadah tulisan. Seorang penulis tidak akan dapat lari dari dua aktiviti ini. Membaca dan menulis. Itulah yang telah mendorong anda berjumpa dengan tulisan ini.
Terkadang seseorang penulis itu ditimpa “kebuntuan idea”. Dalam istilah penulis, ia dipanggil “writers block”. Jadi bagaimana mungkin anda dapat mengatasi keadaan buntu ini. Berikut saya kongsikan beberapa tips bagaimana anda mengatasi “writers block”.
Tips 1: Berdoalah kepada Allah. Doa suatu yang istimewa buat seseorang manusia lebih-lebih lagi seorang penulis. Dia memanjatkan hajatnya kepada Allah yang menguasai ubun-ubun segala makhluk yang melata di muka bumi ini. Mohonlah dari Allah agar diberi idea yang bernas, segar dan lojik. Luahkan kepadaNya segala kebuntuan anda. Pasti Dia memakbulkan hajat anda. Doa yang dipanjatkan di waktu-waktu khusus, hampir tidak disia-siakan Allah. Lebih-lebih lagi anda memang berniat ingin berdakwah ke jalan Allah melalui wadah tulisan. Maka jangan malas berdoa.
Tips 2: Tafakkur sebentar, tafakkur ialah anda berfikir, mencari idea yang lojik yang ingin anda tampilkan. Nabi Ibrahim sendiri, tatkala proses membina Kaabah, baginda akan berdiri di maqam Ibrahim, memerhati arah Kaabah yang dibinanya, apakah ia senget?, apakah ia sesuai dengan perintah Allah?, apakah perlu ada penjajaran dari pelan asal yang diterima dari Allah?. Begitu jugalah bagi seorang penulis, dia perlu mengambil sedikit masa memerhatikan struktur binaan tulisan yang dibuatnya bila dia bertembung dengan writer block. Inilah tafakkur bagi seorang penulis.
Tips 3 : Mandi. Ketika anda buntu, mungkin kerana otak anda terlalu berat untuk berfikir. Seperti komputer, yang kadang-kadang berlaku hanging”, begitu juga otak anda. Maka dengan mandi bisa menyegarkan kembali otak anda yang dilanda kebuntuan. Insyallah segala yang tersekat akan berjalan lancar setelah anda mandi. Siraman air sejuk yang nyaman bisa mengembalikan kesegaran tubuh badan dan otak anda.
Tips 4: Beralih ke tajuk, topik atau bab penulisan yang lain. Terkadang idea anda tersekat di sebuah empangan yang tidak bisa anda rempuh. Maka cara penyelesaiannya ialah anda beralih ke tajuk penulisan yang lain. Seperti air yang bila tersekat oleh sesuatu, ia akan terus mengalir ke arah lain yang lebih rendah. Arus perlu terus mengalir ke muara sungai. Jika anda sedang menulis novel maka anda boleh kerjakan bab yang lain dahulu. Jangan biarkan masa berlalu tanpa anda mengusahakan sesuatu. Lihat pada kerangka dan pemetaan yang telah anda siapkan di awal  penulisan. Perhatikan apakah bab yang anda lebih tahu dan berghairah meluahkannya, maka mengaranglah pada bab itu. Insyallah sekatan atau “writers block” akan dapat anda atasi. Bila sudah lancar, maka anda boleh saja kembali mengerjakan bab yang tersekat tadi. Ini untuk mempastikan buku yang anda sasarkan siap pada waktunya. Mudah-mudah anda tetap produktif menghasilkan karya tulisan dan berjaya mengatasai “ writers block”.
Tips 5: Anda juga bisa mengatasi “writers block” dengan membaca buku-buku rujukan yang berkaitan tajuk yang anda tulis. Ada buku, ada majalah dan artikel berkaitan topik yang sedang anda tulis. Ada tulisan berkaitan yang telah diterbitkan penulis lain dalam pelbagai bahasa, dari pelbagai sudut pandang. Ada beberapa tema yang telah diangkat ke layar perak. Berikan masa untuk anda membuat “pengembaraan ilmu” melalui bahan -bahan tadi. Maka bacalah, menontonlah dan mengembaralah. Buatlah sedikit olahan dan catatan apa yang telah anda baca dan tonton. Sesuaikan dengan penulisan yang sedang anda garap. Insyallah minda yang telah terisi bisa menelurkan idea- idea yang “brillian” lainnya. Insyallah dalam tulisan akan datang saya akan berkongsi  lima lagi tips mengatasi “writers block”.

Tuesday 17 October 2017

Hidup Yang Bererti

HIDUP YANG “BERERTI”


“ Kedingan air dalam bilik mandi homestay yang aku huni di kampung Rendang Pasir, Yan, Kedah ini   mengingatkan aku kepada suasana di pagi hari di tempat aku menyelesaikan ijazah pertamaku. Iaitu di Kenitra, Moroko. Itulah pengalaman pertamaku di luar negeri. Aku ditempatkan di sebuat bandar yang agak kecil .

Ketika aku mula-mula sampai di negara Mediteranian itu, rumah yang aku tinggal tidak ada pemanas air. Bila mandi terutamanya di musim sejuk terasa kedinginan air hingga ke tulang. Aku mula membayangkan bagaimanakah kegigihan yang ada pada diri para pejuang Islam yang telah menggadai nyawa demi mempastikan agama Allah ini dapat disebarkan seluas-luasnya walaupun pelbagai halangan yang mungkin dihadapi. Antaranya ancaman cuaca dan suhu yang sangat sejuk. Itulah lokasi yang telah diterokai oleh Tariq bin Ziyad demi menyebarkan Islam ke bumi Ibnu Khaldun (Moroko, Jazair) dan  bumi Al Qurtubi (Spanyol) itu .

Semakin benakku mengelamun jauh ke benua Afrika itu, tiba-tiba aku terdengar suara azan yang bersahut-sahutan dari corong menara beberapa masjid dan surau yang berdekatan homestay yang aku tinggal. “ Jom ayah kita pergi surau Hj. Alim” kata Habib anakku. Aku mencapai kunci Odysseyku, bersama anakku, kami ke Surau Haji Alim untuk berjemaah subuh.

Azan bersahut-sahutan, itulah tandanya muka bumi Allah ini sentiasa ada manusia yang menyembahNya. Tuhan jagat raya yang terbentang luas ini. Samada aku di Kampung Rendang Pasir, Kedah, Malaysia atau aku berada di Zankat Jamaluddin Al Afghani, Kenitra, Moroko, suara membesarkan Allah akan terus berkumandang secara bergilir-gilir. Selesai muazin surau Haji Alim Kampung Rendang Pasir ini melaungkan azan maka muazin masjid besar Kota Lhokseumawe, Aceh akan melaungkan azan, kemudian muazin di kota Grand Batanga, Cameroon, Afrika melaungkan azan kemudian muazin masjid jami’ Kenitra, Moroko melaungkan azan begitulah setiap hari ianya berlaku. Memang tidak pantas seseorang manusia enggan menyembah tuhan yang maha hebat ini. Tuhan yang kerajaanNya meliputi langit dan bumi.

Seusai solat Subuh, aku memerhatikan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat di Rendang Pasir. Kebanyakan mereka adalah pekerja- pekerja yang berpencen. Kehidupan mereka tidak begitu dikejar oleh kebimbangan lewat sampai ke tempat kerja. Mereka hidup santai dan mesra berbakti kepada sesiapa yang sudi berkampung di teratak mereka.

Di Yan ini ada laut, sawah dan gunung. Satu kombinasi seimbang yang sungguh menyejukkan mata memandang. Aku melemparkan pandanganku ke hadapan jarak yang terjangkau deria lihatku. Aku melihat gunung dengan warna kebiru-biruan diselaputi awan nipis. Ada alur sungai yang nampak samar-samar membelah gunung Jerai. Suana pagi hari di Rendang Pasir sungguh mengasyikkan. Masakan lukisan alam yang begini indah tidak sesiapa yang melakarkannya?, pasti ada. Mindaku terus memasak tauhid untuk terus mengakui kekuasaanNya lantas mengabdi kepadaNya. Sungguh solatku,hajiku, hidup dan matiku adalah untukMu Allah, tuhan semesta alam.

  
Menurut Ustaz Hafizan jika kena pada masanya, pelbagai jenis burung akan singgah di kampung itu untuk berehat atau menikmati suasana di kaki gunung Jerai sebelum mereka terbang semula meneruskan misi mereka mencari makanan dan tempat mengawan.

Aku sempat mengelilingi kampung itu dan selepas berjalan lebih kurang 20 minit aku bertemu dengan sebuat kawasan yang di panggil “Kampung Aceh”. Ada sebuah rumah usang yang dihuni oleh seorang pemuda yang menjaga tempat itu. Ada tempat latihan alat muzik tradisional, ada pelbagai pokok hutan. Pengaruh Aceh di daerah Yan ini memang jelas , ada sebuah sekolah yang diberi nama Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam. Nyak Gam suatu nama yang jarang berasal dari Malaysia. Kemungkinan nama ini adalah berasal dari Aceh. Adapun Haji Nyak Gam adalah wakil rakyat pertama di kawasan itu selepas Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya. Pengaruh Aceh ini menampakkan kegigihan pejuang Islam Aceh ,merentas selat Melaka dengan perahu tradisional yang tidak berinjin seperti sekarang. Mereka menyabung nyawa untuk sampai ke tanah besar semenanjung Malaysia (Yan) ini untuk menyebarkan Islam dan mencari kehidupan.

Kalau di Morokko dan Spanyol, Torik bin Ziyad telah memainkan peranannya menyebarluaskan Islam dalam kalangan penduduk Barbar, manakala di Yan ini , para saudagar dan pendakwah Aceh lah yang telah berjuang mengislamkan penduduk di sini yang asalnya beragama Hindu, Budha atau agama yang mempercayai semangat anamisme. Kegigihan dan semangat para pejuang ini patut dicontohi. Mereka cuba sedaya upaya untuk melakar sejarah, melukis pelan kehidupan yang nantinya bisa menyumbang saham berterusan apabila mereka mati.

Aku teringat satu papan tanda di Pondok Modern Darussalam Gontor, Jawa Timur, Indonesia ketika aku sesekali pergi menziarahi anakku tatkala mereka masih nyantri di sana “ Hidup hanya sekali , hiduplah dengan hidup yang bererti”. Sekian



Ustaz Abu Rayyan 

Thursday 12 October 2017

AROMA AMAL SOLEH

Hari ini 13 Oktober 2017, merupakan hari ulangtahun kelahiranku. Kalau 48 tahun yang lalu aku dilahirkan ibuku dengan penuh kesusahan. Kesusahan mengandung, keperitan melahirkan, sengsara membesarkan sembilan anak dengan pendapatan tak seberapa ayahku sebagai pemandu bas.

Sayugianya kami semua bersyukur kepada Alla dan berterimakasih kepada ibu ayah kami. " Ya Allah ampuni dosa ibuayah kami dan kasihi mereka sepertimana mereka mengasihi kami semasa kecil."


Hari ini aku ingin berkongsi satu cerita yang memotivasi kita semua. Kisah ini diceritakan oleh seorang ulama salafus soleh, Tatkala seseorang hamba itu meninggal dunia, dikatakan kepada malaikat " Ciumlah kepalanya"  malaikat merespon" Aku dapati dari kepalanya aroma Quran". " Cium pula hatinya" malaikat menjawab" Aku dapati dari hatinya aroma puasa", " Cium pula kakinya", kata malaikat" Aku dapati dari kakinya aroma berdiri mengerjakan solat" Ulama ini memberi ulasan" Hamba itu telah memelihara dirinya( dengan memelihara perintah Allah) , lalu Allah pasti akan memeliharanya".

Ayuh usahakan agar kita punya aroma amal soleh yang bisa dicium oleh malaikat sebelum kita mati.

SAKIT ITU TANDANYA, ALLAH MASIH SAYANG PADAMU

Assalamualaikum semua santri di pondok kehidupan yang maha luas ini.

"La Tahzan"

Petang ini aku berkesempatan menziarahi seorang kerabatku yang terlantar di hospital. Dia disahkan mengidap kencing manis dan sakit buah pinggang.  Aku amat kagum pada ibunya yang sangat sabar menerima dan menjalani musibah ini. Aku memerhatikan wajahnya yang tenang dalam tudungnya yang sederhana. Aku melihat kekuatan dan kesabaran ada pada ibu ini.

Saban hari beliau dengan suaminya yang juga sakit, jalan bertongkat, datang menziarahi anaknya yang terlantar di hospital. Bertuah anak ini yang punya ibubapa yang perihatin terhadap dirinya, meskipun usianya telah menjangkau 30 tahun.

Sakit, satu musibah yang ditimpakan Allah untuk menguji hamba-hambanya. Adakah hamba itu bersabar dan redha? Adakah hamba itu bersangka baik terhadap tuhannya?. Rasulullah ada mengajarkan doa ketika kita ditimpa kerumitan dan kesangsaraan. Doa ini jika dibaca oleh si penderita, Allah akan menggantikan duka laranya dengan ketenangan.

" Ya Allah, akulah hambaMu, anak hamba lelakiMu, anak hamba perempuanMu, ubun-ubunku berada dalam gengamanMu, berlaku padaku segala ketentuanMu, adil segala hukum yang Engkau jatuhkan ke atasku, aku bermohon kepadaMu, dengan semua nama yang Engkau namakan diriMu, atau nama yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau nama yang pernah Engkau ajarkan kepada seorang dalam kalangan hambaMu, atau dengan namaMu yang Engkau sembunyikan di alam ghaib disisiMu, bahawa Engkau jadikan Al Quran sebagai  penawar hatiku, penghilang kesedihanku dan
pelenyap kerunsinganku"

 Amin

DEMI PENA

FAEDAH MENULIS GUNA TANGAN BERBANDING MENULIS MENGGUNAKAN KOMPUTER Dalam zaman teknologi komunikasi dewasa ini, tulisan tangan semakin di...