Tuesday 17 October 2017

Hidup Yang Bererti

HIDUP YANG “BERERTI”


“ Kedingan air dalam bilik mandi homestay yang aku huni di kampung Rendang Pasir, Yan, Kedah ini   mengingatkan aku kepada suasana di pagi hari di tempat aku menyelesaikan ijazah pertamaku. Iaitu di Kenitra, Moroko. Itulah pengalaman pertamaku di luar negeri. Aku ditempatkan di sebuat bandar yang agak kecil .

Ketika aku mula-mula sampai di negara Mediteranian itu, rumah yang aku tinggal tidak ada pemanas air. Bila mandi terutamanya di musim sejuk terasa kedinginan air hingga ke tulang. Aku mula membayangkan bagaimanakah kegigihan yang ada pada diri para pejuang Islam yang telah menggadai nyawa demi mempastikan agama Allah ini dapat disebarkan seluas-luasnya walaupun pelbagai halangan yang mungkin dihadapi. Antaranya ancaman cuaca dan suhu yang sangat sejuk. Itulah lokasi yang telah diterokai oleh Tariq bin Ziyad demi menyebarkan Islam ke bumi Ibnu Khaldun (Moroko, Jazair) dan  bumi Al Qurtubi (Spanyol) itu .

Semakin benakku mengelamun jauh ke benua Afrika itu, tiba-tiba aku terdengar suara azan yang bersahut-sahutan dari corong menara beberapa masjid dan surau yang berdekatan homestay yang aku tinggal. “ Jom ayah kita pergi surau Hj. Alim” kata Habib anakku. Aku mencapai kunci Odysseyku, bersama anakku, kami ke Surau Haji Alim untuk berjemaah subuh.

Azan bersahut-sahutan, itulah tandanya muka bumi Allah ini sentiasa ada manusia yang menyembahNya. Tuhan jagat raya yang terbentang luas ini. Samada aku di Kampung Rendang Pasir, Kedah, Malaysia atau aku berada di Zankat Jamaluddin Al Afghani, Kenitra, Moroko, suara membesarkan Allah akan terus berkumandang secara bergilir-gilir. Selesai muazin surau Haji Alim Kampung Rendang Pasir ini melaungkan azan maka muazin masjid besar Kota Lhokseumawe, Aceh akan melaungkan azan, kemudian muazin di kota Grand Batanga, Cameroon, Afrika melaungkan azan kemudian muazin masjid jami’ Kenitra, Moroko melaungkan azan begitulah setiap hari ianya berlaku. Memang tidak pantas seseorang manusia enggan menyembah tuhan yang maha hebat ini. Tuhan yang kerajaanNya meliputi langit dan bumi.

Seusai solat Subuh, aku memerhatikan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat di Rendang Pasir. Kebanyakan mereka adalah pekerja- pekerja yang berpencen. Kehidupan mereka tidak begitu dikejar oleh kebimbangan lewat sampai ke tempat kerja. Mereka hidup santai dan mesra berbakti kepada sesiapa yang sudi berkampung di teratak mereka.

Di Yan ini ada laut, sawah dan gunung. Satu kombinasi seimbang yang sungguh menyejukkan mata memandang. Aku melemparkan pandanganku ke hadapan jarak yang terjangkau deria lihatku. Aku melihat gunung dengan warna kebiru-biruan diselaputi awan nipis. Ada alur sungai yang nampak samar-samar membelah gunung Jerai. Suana pagi hari di Rendang Pasir sungguh mengasyikkan. Masakan lukisan alam yang begini indah tidak sesiapa yang melakarkannya?, pasti ada. Mindaku terus memasak tauhid untuk terus mengakui kekuasaanNya lantas mengabdi kepadaNya. Sungguh solatku,hajiku, hidup dan matiku adalah untukMu Allah, tuhan semesta alam.

  
Menurut Ustaz Hafizan jika kena pada masanya, pelbagai jenis burung akan singgah di kampung itu untuk berehat atau menikmati suasana di kaki gunung Jerai sebelum mereka terbang semula meneruskan misi mereka mencari makanan dan tempat mengawan.

Aku sempat mengelilingi kampung itu dan selepas berjalan lebih kurang 20 minit aku bertemu dengan sebuat kawasan yang di panggil “Kampung Aceh”. Ada sebuah rumah usang yang dihuni oleh seorang pemuda yang menjaga tempat itu. Ada tempat latihan alat muzik tradisional, ada pelbagai pokok hutan. Pengaruh Aceh di daerah Yan ini memang jelas , ada sebuah sekolah yang diberi nama Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam. Nyak Gam suatu nama yang jarang berasal dari Malaysia. Kemungkinan nama ini adalah berasal dari Aceh. Adapun Haji Nyak Gam adalah wakil rakyat pertama di kawasan itu selepas Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya. Pengaruh Aceh ini menampakkan kegigihan pejuang Islam Aceh ,merentas selat Melaka dengan perahu tradisional yang tidak berinjin seperti sekarang. Mereka menyabung nyawa untuk sampai ke tanah besar semenanjung Malaysia (Yan) ini untuk menyebarkan Islam dan mencari kehidupan.

Kalau di Morokko dan Spanyol, Torik bin Ziyad telah memainkan peranannya menyebarluaskan Islam dalam kalangan penduduk Barbar, manakala di Yan ini , para saudagar dan pendakwah Aceh lah yang telah berjuang mengislamkan penduduk di sini yang asalnya beragama Hindu, Budha atau agama yang mempercayai semangat anamisme. Kegigihan dan semangat para pejuang ini patut dicontohi. Mereka cuba sedaya upaya untuk melakar sejarah, melukis pelan kehidupan yang nantinya bisa menyumbang saham berterusan apabila mereka mati.

Aku teringat satu papan tanda di Pondok Modern Darussalam Gontor, Jawa Timur, Indonesia ketika aku sesekali pergi menziarahi anakku tatkala mereka masih nyantri di sana “ Hidup hanya sekali , hiduplah dengan hidup yang bererti”. Sekian



Ustaz Abu Rayyan 

No comments:

Post a Comment

DEMI PENA

FAEDAH MENULIS GUNA TANGAN BERBANDING MENULIS MENGGUNAKAN KOMPUTER Dalam zaman teknologi komunikasi dewasa ini, tulisan tangan semakin di...