HIDUP YANG “BERERTI”
“ Kedingan air dalam
bilik mandi homestay yang aku huni di kampung Rendang Pasir, Yan, Kedah
ini mengingatkan aku kepada suasana di
pagi hari di tempat aku menyelesaikan ijazah pertamaku. Iaitu di Kenitra,
Moroko. Itulah pengalaman pertamaku di luar negeri. Aku ditempatkan di sebuat
bandar yang agak kecil .
Ketika aku mula-mula
sampai di negara Mediteranian itu, rumah yang aku tinggal tidak ada pemanas
air. Bila mandi terutamanya di musim sejuk terasa kedinginan air hingga ke tulang.
Aku mula membayangkan bagaimanakah kegigihan yang ada pada diri para pejuang
Islam yang telah menggadai nyawa demi mempastikan agama Allah ini dapat
disebarkan seluas-luasnya walaupun pelbagai halangan yang mungkin dihadapi.
Antaranya ancaman cuaca dan suhu yang sangat sejuk. Itulah lokasi yang telah
diterokai oleh Tariq bin Ziyad demi menyebarkan Islam ke bumi Ibnu Khaldun
(Moroko, Jazair) dan bumi Al Qurtubi
(Spanyol) itu .
Semakin benakku
mengelamun jauh ke benua Afrika itu, tiba-tiba aku terdengar suara azan yang
bersahut-sahutan dari corong menara beberapa masjid dan surau yang berdekatan
homestay yang aku tinggal. “ Jom ayah kita pergi surau Hj. Alim” kata Habib
anakku. Aku mencapai kunci Odysseyku, bersama anakku, kami ke Surau Haji Alim
untuk berjemaah subuh.
Azan bersahut-sahutan,
itulah tandanya muka bumi Allah ini sentiasa ada manusia yang menyembahNya.
Tuhan jagat raya yang terbentang luas ini. Samada aku di Kampung Rendang Pasir,
Kedah, Malaysia atau aku berada di Zankat Jamaluddin Al Afghani, Kenitra,
Moroko, suara membesarkan Allah akan terus berkumandang secara bergilir-gilir.
Selesai muazin surau Haji Alim Kampung Rendang Pasir ini melaungkan azan maka
muazin masjid besar Kota Lhokseumawe, Aceh akan melaungkan azan, kemudian
muazin di kota Grand Batanga, Cameroon, Afrika melaungkan azan kemudian muazin
masjid jami’ Kenitra, Moroko melaungkan azan begitulah setiap hari ianya
berlaku. Memang tidak pantas seseorang manusia enggan menyembah tuhan yang maha
hebat ini. Tuhan yang kerajaanNya meliputi langit dan bumi.
Seusai solat Subuh,
aku memerhatikan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat di Rendang Pasir.
Kebanyakan mereka adalah pekerja- pekerja yang berpencen. Kehidupan mereka
tidak begitu dikejar oleh kebimbangan lewat sampai ke tempat kerja. Mereka
hidup santai dan mesra berbakti kepada sesiapa yang sudi berkampung di teratak
mereka.
Di Yan ini ada laut,
sawah dan gunung. Satu kombinasi seimbang yang sungguh menyejukkan mata
memandang. Aku melemparkan pandanganku ke hadapan jarak yang terjangkau deria
lihatku. Aku melihat gunung dengan warna kebiru-biruan diselaputi awan nipis.
Ada alur sungai yang nampak samar-samar membelah gunung Jerai. Suana pagi hari
di Rendang Pasir sungguh mengasyikkan. Masakan lukisan alam yang begini indah tidak
sesiapa yang melakarkannya?, pasti ada. Mindaku terus memasak tauhid untuk
terus mengakui kekuasaanNya lantas mengabdi kepadaNya. Sungguh solatku,hajiku,
hidup dan matiku adalah untukMu Allah, tuhan semesta alam.
Menurut Ustaz Hafizan
jika kena pada masanya, pelbagai jenis burung akan singgah di kampung itu untuk
berehat atau menikmati suasana di kaki gunung Jerai sebelum mereka terbang
semula meneruskan misi mereka mencari makanan dan tempat mengawan.
Aku sempat
mengelilingi kampung itu dan selepas berjalan lebih kurang 20 minit aku bertemu
dengan sebuat kawasan yang di panggil “Kampung Aceh”. Ada sebuah rumah usang
yang dihuni oleh seorang pemuda yang menjaga tempat itu. Ada tempat latihan
alat muzik tradisional, ada pelbagai pokok hutan. Pengaruh Aceh di daerah Yan
ini memang jelas , ada sebuah sekolah yang diberi nama Sekolah Kebangsaan Haji
Nyak Gam. Nyak Gam suatu nama yang jarang berasal dari Malaysia. Kemungkinan
nama ini adalah berasal dari Aceh. Adapun Haji Nyak Gam adalah wakil rakyat
pertama di kawasan itu selepas Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya. Pengaruh
Aceh ini menampakkan kegigihan pejuang Islam Aceh ,merentas selat Melaka dengan
perahu tradisional yang tidak berinjin seperti sekarang. Mereka menyabung nyawa
untuk sampai ke tanah besar semenanjung Malaysia (Yan) ini untuk menyebarkan
Islam dan mencari kehidupan.
Kalau di Morokko dan
Spanyol, Torik bin Ziyad telah memainkan peranannya menyebarluaskan Islam dalam
kalangan penduduk Barbar, manakala di Yan ini , para saudagar dan pendakwah
Aceh lah yang telah berjuang mengislamkan penduduk di sini yang asalnya
beragama Hindu, Budha atau agama yang mempercayai semangat anamisme. Kegigihan
dan semangat para pejuang ini patut dicontohi. Mereka cuba sedaya upaya untuk
melakar sejarah, melukis pelan kehidupan yang nantinya bisa menyumbang saham
berterusan apabila mereka mati.
Aku teringat satu
papan tanda di Pondok Modern Darussalam Gontor, Jawa Timur, Indonesia ketika
aku sesekali pergi menziarahi anakku tatkala mereka masih nyantri di sana “
Hidup hanya sekali , hiduplah dengan hidup yang bererti”. Sekian
Ustaz Abu Rayyan
No comments:
Post a Comment